LINANGKIT-KHAS

3 Mac 2009

"Budaya Menunjukkan Sebuah Bangsa" begitulah gahnya kekayaan pelbagai budaya dan tradisi masyarakat pelbagai kaum di Sabah yang sehingga kini masih mengekalkan adat dan warisan nenek moyang mereka.

Suku Kaum Dusun Lotud di Tuaran Sabah yang bukan sahaja kaya dengan keindahan dan keunikan budayanya yang mungkin masih ramai yang tidak mengetahui bahawa suku kaum ini mempunyai sesuatu warisan yang tidak ada pada kaum lain iaitu Linangkit atau sulaman pakaian tradisional masyarakat tersenut yang sangat cantik dan halus.

Krew Sabah Di Satu sempat menyingkap keistimewaan sulaman tersebut melalui satu majlis perkahwinan suku kaum dusun Lotud yang diadakan di Perkampungan Budaya Linangkit di Tuaran.

Majlis Perkahwinan tradisional masyarakat dusun Lotud ini berbeza dengan perkahwinan tradisional suku kaum lain yang mengekalkan banyak pantang larang yang harus dipatuhi pasangan pengantin.

Sebelum majlis persandingan diadakan, pengantin lelaki akan berjalan kaki menuju ke rumah pengantin perempuan untuk menjemputnya bersama-sama berarak ke tempat persandingan.

Sebagai merestui perkahwinan kedua-dua pengantin orang-orang tua diberi penghormatan untuk mencuci kaki pasangan pengantin sebelum diapit menuju ke laman pengantin dikenali "Libunan" dalam bahasa dusun Lotud.

Sejurus pasangan pengantin mengambil tempat di laman pengantin yang dihiasi dengan kain-kain yang bercorak dan berwarna-warni, persembaham silat diadakan sebagai menyambut ketibaan pengantin dan tetamu. Persembahan silat juga ada persamaan dengan perkahwinan Melayu.

Apa yang membezakan Dusun Lotud, pengantin perempuan duduk bersimpuh sementara pengantin lelaki akan dijemput oleh keluarga kedua-due pihak pengantin untuk menikmati jamuan "Makan Beradab".

Yang uniknya, makan beradab ini tidak membenarkan pengantin lelaki menjamah makanan daging kecuali ikan dan sayur-sayuran sepanjang tempoh persandingan. Sementara pengantin perempuan pula hanya menunggu di laman pengantin sehingga pengantin lelaki dengan kedua-dua pihak selesai menjamu selera.

"Bahar" atau minuman keras yang diperbuat daripada nirah kelapa dan nasi yang dibungkus dengan daun keladi atau "Linopot Du Omon" merupakan antara hidangan istimewa dalam makan beradab kaum dusun lotud.

Sejurus selesai majlis makan beradab tersebut, "Upacara Moninjau" atau menyanyikan lagu-lagu berunsur nasihat sebagai tanda restu dan berkat kepada kedua-dua pengantin dalam menempuhi hidup berumahtangga.

Upacara ini, dilakukan kaum lelaki sahaja dan kebiasaannya diketuai oleh pemegang atau ketua adat dan ketua kampung sahaja.

Tarian Monigol yang juga dikenali sebagai tarian helang dan tarian sumayan merupakan antara tarian tradisional suku kaum dusun lotud yang sering dipersembahkan dalam setiap majlis rasmi dan perkahwinan suku kaum itu.

Jika sekali pandnag, pakaian perkahwinan tradisional suku kaum dusun lotud ini tidak banyak beza dengan pakaian tradisional kadazan dusun dari segi baju asas berwarna hitam. Bagaimanapun dari segi aksesori dan sulaman linangkit yang ada pada pakaian dusun lotud memberikan banyak perbezaan dan keistimewaan tersendiri kepada pakaian tradisional ini.

Bagi pakaian pengantin perempuan, "Karo Lawit" atau kalung marupakan antara aksesori yang paling berharga dan turut dipakai pengantin lelaki. Ini kerana ada diantara kalung tersebut diwarisi turun-temurun sejak 500 tahun lalu.

Sementara gaun yang dipenuhi sulaman linangkit pula dikenali sebagai "Sinugitan", Sanggul Kepala "Sigar", aksesori di lengan pula dipanggil "Simpai" dan di kaki pula dipanggil "Lansung".

Keris atau "Tatarapan dan Songkok atau "Sundi" pula merupakan antara aksesori yang dipakai pengantin lelaki.

Sesungguhnya, keunikan dan kehalusan seni budaya pelbagai suku kaum di Sabah menyimpan seribu satu budaya dan adat daripada lebih 32 etnik.

Kepelbagaiaan dan keindahan budaya dan tradisi masyarakat majmuk di negeri ini juga sukar diungkapkan dengan kata-kata.

Sebagai masyarakat dan anak jati yang cintakan seni dan budaya, usaha berterusan perlu dilakukan bagi mengekalkan dan memartabatkan warisan nenek moyang tidak hilang ditelan zaman.

Submitted by Salma
posted by Gwen

No comments:

Post a Comment

Strictly Academic

Cheap domain names

IVSage+1 (c) copyright reserved